Selangor Sasar Lepasi Peringkat Kalah Mati ACL2
MakanBola
Selangor FC

Selangor FC berharap dapat layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) musim 2025/26.

Hasrat itu dizahirkan jurulatih Merah Kuning, Katsuhito Kinoshi selepas undian peringkat kumpulan ACL2 yang diadakan pada 15 Ogos lalu.

Undian kumpulan ACL2 menyaksikan Selangor berada dalam Kumpulan G. Selain Selangor, finalis ACL2 musim lalu, Lion City Sailors, Persib Bandung dan Bangkok United turut berada dalam kumpulan sama.

Kinoshi mengakui Selangor akan berdepan cabaran hebat daripada semua pasukan dalam Kumpulan G.

“Pertama sekali, petang tadi kita telah diundi menentang pasukan dari negara yang berhampiran, dan saya rasa ini adalah permulaan yang baik untuk memulakan saingan ACL2. Bangkok United, Lion City Sailors FC, dan Persib Bandung adalah pasukan yang hebat dan mempunyai sejarah mereka sendiri.

“Kancah bola sepak baru sahaja bermula, sudah pasti setiap pasukan telah membuat penambahbaikan bagi mengharungi musim ini. Jadi kita perlu bersedia untuk berdepan pasukan-pasukan kuat ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau percaya sasaran mara ke pusingan kalah mati dapat dicapai. Ini kerana ini akan membantu menaikkan tahap Selangor ke tahap lebih tinggi.

“Sasaran kami adalah untuk layak ke peringkat kalah mati, yang akan menjadi satu lagi pencapaian baik untuk kelab. Saya akan pastikan para pemain bersedia untuk menghadapi kejohanan ini.

“Walau bagaimanapun, tidak kira siapa lawan kita, kita perlu berikan yang terbaik untuk diri sendiri dan pasukan setiap masa,” ujarnya.

Selangor gagal melepasi peringkat kumpulan ACL2 musim lalu apabila menamatkan kempen di tempat ketiga Kumpulan H.

Pencapaian terbaik Merah Kuning di Asia ialah suku akhir Piala AFC (kini ACL2) musim 2006.