Selangor FC menyerahkan sepenuhnya kepada Faisal Halim untuk membuat keputusan sama ada mahu terus diberi ruang untuk bertenang atau sedia beraksi untuk pasukan itu.
Komen itu dibuat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor, Dr. Johan Kamal Hamidon apabila ditanya sama ada pemain sayap kebangsaan itu akan beraksi dalam beberapa perlawanan selepas ini.
Sebelum ini, pemain sayap berusia 27 tahun itu berdepan isu peribadi ketika bersama skuad Harimau Malaya.
Isu tersebut dan kecederaan kecil di bahagian lutut antara faktor yang mendorong jurulatih negara, Peter Cklamovski terpaksa melupakan khidmat Faisal untuk aksi menentang Palestin.
Johan memaklumkan apa saja keputusan yang dibuat bekas pemain sayap Terengganu FC itu, pengurusan Selangor akan memberi sokongan kepada beliau.
“Kita tahu beliau seorang pemain yang profesional. Kita semua tahu bagaimana kuatnya beliau, berapa kali beliau jatuh dan bangkit kembali.
“Jadi, saya rasa beliau akan melalui perkara ini dengan baik. Dan beliau akan sentiasa buat keputusan yang baik untuk diri beliau dan keluarga beliau.
“Bagi kita, kita akan bagi sokongan penuh. Saya percaya Coach Kino (Katsuhito Kinoshi) juga akan beri sokongan penuh. Jadi, apa saja keputusan Faisal Halim, kita akan sokong,” katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Selangor akan berdepan beberapa aksi penting selepas tamat kalendar antarabangsa bulan September. Mereka akan menentang Malaysian University FT (MUFT) untuk aksi kedua pusingan 16 Piala FA pada 13 September.
Ini disusuli aksi pertama Kumpulan G Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) menentang Bangkok United pada 18 September. Kuching City pula menanti The Red Giants untuk aksi liga pada 21 September.