Pemangku jurulatih Selangor FC, Christophe Gamel tetap yakin dengan kemampuan anak buahnya menjelang aksi kedua Kumpulan G Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) menentang Lion City Sailors (LCS).
Keyakinan itu disuarakan pengendali Perancis itu apabila diminta mengulas rekod kebal The Sailors di gelanggang sendiri dalam saingan ACL2.
LCS tidak tewas setiap kali mereka beraksi di tempat sendiri dalam saingan ACL2 musim lalu. Musim 2024/25 menyaksikan kelab itu mencipta kejutan dengan menewaskan Zhejiang FC, Sanfreece Hiroshima dan Sydney FC.
Gamel sedar dengan rekod baik yang dimiliki anak buah Aleksandar Rankovic, itu memberi mereka kelebihan bila menentang The Red Giants.
Pada masa sama, beliau melihat itu bukan penghalang buat naib juara Liga Super musim lepas itu meraih kemenangan di bumi Singapura.
“Kita tahu The Sailors amat kuat di gelanggang sendiri tetapi kita mahu bermain permainan bola yang bagus.
“Dan jika kita lakukannya, kita boleh mendapat keputusan positif. Pasukan akan berjuang untuk memastikan kita meraih mata penuh (di Singapura),” katanya dalam sidang media praperlawanan.
Selangor berharap dapat meneruskan momentum kemenangan yang dicipta dalam saingan Piala Sultan Selangor 2025. Selangor muncul juara dengan menewaskan Pilihan Singapura 2-1.
Aksi ini juga turut menemukan kembali Selangor dengan bekas kapten mereka, Safuwan Baharudin. Safuwan menyertai LCS secara pinjaman untuk musim ini.