Pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi mengakui belum berpuas hati dengan mutu jentera serangan pasukan itu.
Perkara itu dizahirkan beliau meskipun The Red Giants berjaya menewaskan Brunei DPMM FC 3-0 di Stadium MBPJ.
Dua gol Kevin Deeromram membantu Selangor selesa mendahului pada separuh masa pertama. Bekas penyerang Buriram United, Chrigor Moraes memastikan Selangor meraih kemenangan 3-0.
Meskipun Kinoshi gembira dengan kemenangan tersebut, beliau merasakan Selangor patut menjaringkan lebih banyak gol. Ini kerana terdapat deretan peluang yang gagal disudahkan anak buahnya.
“Saya gembira kerana mereka bermain dengan baik berbanding aksi terakhir menentang JDT (Johor Darul Ta’zim). Jadi, saya gembira dengan persembahan mereka.
“Saya sedikit kecewa kerana kita patut menjaringkan lebih banyak gol. Kita patut dapat lebih banyak gol daripada tiga gol. Tiga gol itu bagus tapi saya fikir kita boleh dapatkan lebih daripada itu.
“Tapi sasaran kita ialah dapatkan tiga mata, saya gembira kita mendapat tiga mata. Lepas menang 3-0, kita mula fokus semula pada perlawanan seterusnya,” katanya selepas perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Selangor memintas PDRM FC di tangga kelima dengan tiga mata. The Red Giants kini mengalihkan fokus kepada aksi pusingan 16 terbaik Piala FA.
Selangor akan menentang wakil Liga A1 Semi-Pro, Malaysian University FT (MUFT) dalam aksi pertama pada 16 Ogos ini.