Selangor Tamatkan Kontrak Toni Domgjoni Serta-Merta
MakanBola
Selangor FC

Selangor FC memilih menamatkan kontrak pemain tengah Kosovo, Toni Domgjoni.

Keputusan tersebut dibuat pengurusan Merah Kuning dengan mengambil kira beberapa masalah yang dihadapi pemain tengah berusia 27 tahun itu.

Susulan itu, pengurusan Selangor dan Domgjoni bersetuju memuktamadkan penamatan kontrak secara persetujuan bersama.

“Selangor FC mengesahkan bahawa kelab dan Toni Domgjoni telah mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kontraknya serta-merta.

Sejurus tiba di Malaysia, beliau berdepan isu kesihatan dan hal keluarga yang menjejaskan penyertaannya dalam latihan penuh serta komitmen bersama skuad Selangor FC,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Pengurusan Selangor turut memuji profesionalisme yang dipamerkan Domgjoni sepanjang bersama kelab itu.

“Toni kekal profesional sepanjang berada dalam keluarga Merah Kuning, dan kelab amat menghargai usaha serta dedikasinya sambil mengutamakan kesihatan dan kebajikan beliau,” ujarnya.

Ini menjadikan Mamadou Diarra sebagai satu-satunya tonggak import baharu yang membantu Selangor dalam baki kempen ACL2.

Ketiadaan Domgjoni dijangka mempengaruhi perancangan Merah Kuning untuk tetingkap kedua perpindahan Liga Malaysia (Liga M) pada Januari tahun hadapan.