Pengendali KL City FC, Risto Vidakovic percaya pasukannya akan berdepan tugas sukar mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam Liga Super.
Liga Super musim 2025/26 menyaksikan KL City dan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) masih belum tewas setakat ini.
KL City merekodkan enam kemenangan dan dua keputusan seri dalam lapan perlawanan liga. Ini meletakkan mereka di tempat kedua liga dengan 20 mata.
Atas sebab itu, Vidakovic percaya pasukan-pasukan dalam liga memiliki motivasi terbaik bila berdepan pasukan Lembah Klang itu.
“Semua perlawanan seterusnya akan menjadi lebih sukar. Sebab KL City masih belum tewas, semua pasukan mahu menjadi pasukan pertama untuk menewaskan kita.
“Itu memberi mereka motivasi untuk meningkatkan kutipan mata,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
Justeru, bekas pengendali Melaka United FC itu melihat KL City harus berada pada tahap terbaik. Ini bagi memastikan rekod tanpa kalah mereka sukar dicabar pasukan-pasukan lain.
“Jadi, kita harus membuat persiapan untuk setiap perlawanan. Anda tahu pasukan-pasukan besar kena berjuang 100% dalam setiap perlawanan.
“Jika anda lalai, anda akan tewas. Dan saya harap itu tidak berlaku pada masa ini. Kita perlu pertahankan selagi yang boleh bagi mendapatkan keputusan yang bagus,” ujarnya.
KL City berharap dapat melebarkan rekod tanpa kalah mereka apabila bertemu dengan Melaka FC pada 30 November ini.