Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa akur kehilangan ramai tonggak utama akibat kecederaan menjelang perlawanan akhir Piala FA menentang Sabah.
Pertemuan antara JDT dan Sabah di perlawanan akhir bakal menentukan juara Piala FA musim ini dengan skuad Harimau Selatan dilihat sebagai pasukan pilihan untuk mempertahan kejuaraan.
Walau bagaimanapun, misi JDT untuk merangkul kejuaraan Piala FA buat kali ke-4 berturut-turut berdepan tugas sukar setelah dibelenggu krisis kecederaan membabitkan pemain-pemain utama.
Peminat sedia maklum dengan kecederaan yang dialami oleh Arif Aiman, Romel Morales, Enzo Lombardo, begitu juga Ager Aketxe sehingga mereka terpaksa disisihkan dalam beberapa aksi penting.
Kini, menjelang aksi final Piala FA, nama seorang lagi pemain JDT disahkan mengalami kecederaan oleh pengendali, Xisco Munoz iaitu Bergson Da Silva yang dipercayai menimpanya ketika perlawanan lalu.
Setakat ini, Xisco Munoz mengesahkan bahawa 3 tonggak yang digantung tidak dapat beraksi esok bersama senarai pemain yang mengalami kecederaan, namun bintang lain kekal bersedia.
“Anda semua sedia maklum mengenai 3 pemain (tak dapat beraksi) iaitu Joao (Figueiredo), Jon (Irazabal) serta Hector (Hevel).”
“Romel terpaksa diketepikan akibat kecederaan, begitu juga dengan Bergson, Enzo (Lombardo), (Ager) Aketxe serta Arif (Aiman) juga alami hal yang sama,” jelas Xisco Munoz ketika sidang media.
“Kami kehilangan beberapa pemain penting, namun dalam masa sama masih ada pemain lain yang bersedia.”
“Esok (Ahad), pemain lain perlu melangkah ke hadapan dan memikul tanggungjawab kerana itulah cara kami bergerak. Kami bakal terus berpegang kepada gaya permainan sendiri.”
Perlawanan JDT vs Sabah bakal berlangsung pada Ahad, 14 Disember di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan sepak mula aksi dijadualkan jam 9 malam.