Senarai Penuh 11 Pemain Import Melaka
MakanBola
Melaka FC

11 tonggak import menjadi sandaran Melaka FC untuk menghadapi kempen musim 2025/26.

Semakan di Sistem Pengurusan Pertandingan (CMS) FAM mendapati sembilan pemain berada dalam senarai pemain pasukan yang dibimbing K. Devan itu.

Sembilan pemain tersebut ialah Jun Badelic, Charles Dabao III, Vitor Carvalho, Patrick Gama, Juan Douglas, Michael Onyekachi Ozor, Gu Dae-yeob, Danilo Magalhaes dan Anderson Brito.

Ini ditambah dengan khabar perpindahan terbaru yang dikongsikan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

Fadhirul memaklumkan Melaka dilaporkan berjaya mendapatkan dua lagi pemain import sebelum tetingkap pertama perpindahan Liga Malaysia (Liga M) ditutup pada tengah malam 31 Ogos lalu.

Dua pemain tersebut ialah Justin Baas dan Bernard Arthur. Baas bukan asing dengan Liga M kerana pernah mewakili Melaka United pada 2022.

Arthur pula memiliki pengalaman beraksi di Asia kerana pernah mewakili dua kelab Arab Saudi, Al-Taqadom dan Qilwah Club.

Setakat ini, belum ada pengumuman rasmi daripada Melaka berhubung perpindahan dua pemain tersebut.

Sekiranya dua perpindahan itu disahkan, bisa 11 pemain ini diharap dapat membantu Melaka memburu kemenangan pertama dalam musim 2025/26.

Anak buah Devan bakal meneruskan saingan dalam aksi kedua pusingan 16 Piala FA menentang Penang FC. Aksi sebelumnya menyaksikan Melaka tumbang 2-0 kepada Harimau Kumbang menerusi dua gol Dylan Wenzel-Halls.

Melaka berharap dapat bangkit dalam aksi timbal balik di Stadium Bandaraya pada 15 September.