Pemain Malaysia yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzain Wah Ahmad Kamal membantu kelabnya, St. Louis City 2 melakar sejarah.
Ini kerana kelab itu menjadi kelab MLS Next Pro pertama yang berjaya melakar lapan kemenangan berturut-turut.
Pencapaian itu dilakar apabila St. Louis City 2 menewaskan Austin FC II 4-2. Miguel Perez meletakkan pasukan itu di hadapan pada minit ke-12 apabila menyudahkan hantaran Kuzain.
Austin FC II terus ditimpa malang apabila St. Louis City 2 dianugerahkan sepakan penalti. Mykhi Joyner tenang menyempurnakan penalti pada minit ke-17.
Joyner terus merobek gawang tuan rumah dengan meledakkan gol ketiga pelawat tujuh minit selepas itu.
Kuzain kemudiannya mencetak nama sebagai penjaring. Gol tersebut memastikan St. Louis City 2 mendahului 4-0 sehingga rehat separuh masa.
Austin FC II cuba bangkit dengan meledakkan dua gol menerusi Ervin Torres dan Jorge Alastuey. Walau bagaimanapun, itu sudah terlambat untuk menghalang kemenangan St. Louis City 2.
Selain melakar sejarah dalam saingan MLS Next Pro, kemenangan ini memastikan St. Louis City 2 menerajui carta Kumpulan B. Pasukan itu mendahului dengan 38 mata, lapan mata di hadapan Ventura County.