Sentuhan Imanol Machuca Bantu Velez Sarsfield Julang Trofi Di Argentina
MakanBola
Velez Sarsfield

Imanol Machuca meraih trofi pertama dalam kariernya apabila membantu Velez Sarsfield bergelar juara Supercopa Internacional 2025.

Kejayaan itu dicapai juara liga Argentina 2024 itu dengan menewaskan Estudiantes di Estadio Libertadores de America.

Supercopa Internacional merupakan pertandingan membabitkan juara Argentine Primera Division dan juara Trofeo de Campeones.

Edisi kali ini menyaksikan Velez dan Estudiantes masing-masing hadir dengan status bergelar juara liga dan Trofeo de Campeones edisi 2024.

Selepas terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, El Fortin membuka tirai jaringan menerusi Tomas Galvan pada minit ke-52. Menariknya, Machuca turut terlibat dalam gerakan serangan yang membawa kepada gol pertama Velez.

El Fortin makin selesa di hadapan apabila peledak utama mereka, Braian Romero meledakkan gol kedua pada minit ke-73.

Dua gol tersebut memastikan Machuca dan Velez meraih trofi Supercopa Internacional yang pertama. Lebih manis, ini trofi sulung beliau bersama kelab itu selepas menyertai secara pinjaman pada Januari lalu.

Kejayaan ini dijangka menyuntik semangat Machuca bukan saja untuk tampil cemerlang bersama Velez selepas ini.

Malah, ini akan menambah semangat beliau membantu Harimau Malaya menghadapi CAFA Nations Cup yang bermula pada penghujung Ogos ini.