Sentuhan Jurulatih Selangor, Hamsani Ahmad Lonjak Prestasi Kalamullah Al-Hafiz
MakanBola
Hamsaniahmad/SFC

Penjaga gol Selangor, Kalamullah Al-Hafiz, semakin menjadi tumpuan selepas mempamerkan aksi konsisten termasuklah ketika membantu The Red Giants mengikat gergasi Thailand, Buriram United 1-1 pada Rabu lalu.

Walau bagaimanapun di sebalik ketangkasan Kalamullah di gawang, ada satu individu penting yang jarang disebut iaitu bekas pemain yang kini merangkap jurulatih penjaga gol, Hamsani Ahmad.

Sungguhpun Kalamullah turut mendapat khidmat latihan luar daripada Coach Mio yang dikenali dengan Army Goalkeeper Trainers, kehadiran Hamsani Ahmad juga penting tatkala beliau sentiasa berada di sisinya dalam rutin harian di kelab.

Setiap sesi bersama Hamsani Ahmad menjadi ruang untuk Kalamullah memperbaiki kelemahan kecil dan memperkukuh asas permainan yang membantunya tampil lebih konsisten di atas padang.

Perkongsian ilmu dan pengalaman daripada Hamsani Ahmad yang pernah bermain di pentas tertinggi bola sepak Malaysia turut memberi inspirasi besar untuk Kalamullah mengekalkan prestasi.

Kini, keberkesanan bimbingan Hamsani semakin terserlah apabila Kalamullah bukan sahaja mengukuhkan posisinya sebagai pilihan utama Selangor malah turut menarik perhatian di peringkat serantau.

Ketika nama Kalamullah menjadi sorotan para peminat, tidak dapat dinafikan kehadiran Hamsani Ahmad sebagai arkitek senyap di balik kejayaan penjaga gol itu wajar diberikan penghargaan.

Hari ini, aksi tangkas Kalamullah sekali lagi pasti ditagih oleh pasukan Selangor dalam perlawanan Liga Super menentang Negeri Sembilan tatkala sentuhan ajaib Hamsani Ahmad akan jadi tumpuan.