Seorang Lagi Jurulatih Malaysia Berkelana Ke Luar Negara
MakanBola
Nagaworld FC

Semakin ramai jurulatih Malaysia diberi peluang berkhidmat bersama kelab luar negara.

Terbaru, bekas jurulatih kecergasan Kuching City FC, Aidil Idham Fadzil Halmi diperkenalkan sebagai jurulatih kecergasan kelab Kemboja, Nagaworld FC.

Pengumuman itu dibuat pengurusan Naga menerusi satu kenyataan di platform rasmi mereka. Selain Kuching City, Aidil juga pernah menjadi sebahagian daripada staf kejurulatihan Selangor FC.

“Selamat datang kepada jurulatih fizikal Mohd Aidil Idham Fadzil Halmi ke Kelab Bola Sepak Nagaworld,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Aidil menjadi penambahan terbaru dalam staf kejurulatihan Naga diketuai jurulatih, Borey Khim. Borey dibantu penolong jurulatih, Kento Fujihara dan jurulatih penjaga gol, Ulrich Munze.

Menariknya, Aidil bakal bekerjasama dengan rakan senegara, Joseph Ronald D’Angelus. Nama Joseph cukup dikenali kerana pernah menggalas tugas sebagai jurulatih kecergasan bersama PJ City FC, Negeri Sembilan FC, Terengganu FC dan Laos.

Aidil menjadi jurulatih Malaysia terbaru yang memilih melebarkan sayap mereka ke luar negara. Sebelum ini, nama Mashiedee Sulaiman dan Idham Anuar menjadi bualan peminat bola sepak negara.

Ini selepas Mashiedee dan Idham menjadi sebahagian daripada kejayaan Thep Xanh Nam Dinh bergelar juara V. League 1 musim 2024/25.