Pemain tengah Malaysia, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal terus menjadi tonggak penting buat pasukannya, St. Louis City 2.
Ini selepas beliau membantu pasukan itu menewaskan Ventura County FC 3-0 dalam aksi suku akhir MLS NEXT Pro Western Conference.
Menariknya, Kuzain turut merekodkan bantuan gol seawal minit ketiga. Sepakan percuma yang diambil beliau mengakibatkan Max Middlebury menjaringkan gol sendiri.
Brendan McSorley kemudiannya menyumbat gol kedua St. Louis City 2 pada minit ke-81. Enam minit kemudian, serangan yang direncana Kuzain mudah disempurnakan beliau bagi menjadikan kedudukan 3-0.
Keputusan ini menyaksikan St. Louis City 2 mara ke peringkat separuh akhir MLS NEXT Pro Western Conference. Video gol Kuzain turut dikongsikan Harimau Abroad.
Kualiti yang ditonjolkan Kuzain dijangka menambah pilihan buat Harimau Malaya terutama menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2027 seterusnya pada November ini.
Sebelum ini, pemain tengah berusia 27 tahun itu berada dalam senarai bersedia Harimau Malaya untuk kalendar antarabangsa September dan Oktober.