Skuad bola baling wanita Sepanyol menunjukkan solidariti unik bersama Palestin sebelum aksi kelayakan European Championship menentang Israel.
Wartawan sukan Maghribi, Leyla Hamed mendedahkan sebelum perlawanan, mereka memakai kasut yang memiliki pelekat tembikai.
Kesemua pemain berbuat demikian sebagai tanda solidariti bersama Palestin. Sebelum perlawanan, kesemua pemain Sepanyol turut menyatakan rasa tidak selesa bermain menentang Israel.
“Ini cara skuad bola baling wanita Sepanyol beraksi dalam perlawanan kelayakan European Championship menentang Israel dengan pelekat tembikai pada kasut mereka,” katanya di X.
Sebelum perlawanan, jurulatih Sepanyol, Ambros Martin turut meluahkan rasa tidak puas hati kerana pasukannya perlu menentang Israel.
“Amat sukar bermain menentang sebuah negara yang tidak menunjukkan rasa hormat terhadap hak asasi manusia termasuk hak untuk hidup,” ujarnya.
Luahan Martin mirip luahan jurulatih Itali, Gennaro Gattuso apabila pasukan itu menentang Israel untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026 beberapa minggu lalu.
Gattuso yang juga legenda AC Milan turut membidas hipokrasi FIFA dan UEFA kerana memberi layanan berbeza kepada Russia dan Israel berhubung situasi di Ukraine dan Palestin.
Sepanyol tampil garang dengan membelasah Israel 38-22 di Hant Arena.