Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Dato’ Sri Shahril Mokhtar memohon maaf kepada penyokong pasukan itu.
Beliau mengambil langkah tersebut selepas mengakui prestasi The Red Giants tidak berada pada tahap yang memberangsangkan musim ini.
“Pada masa sama, bagi pihak kelab, saya juga ingin memohon maaf. Rendah diri memohon maaf dengan prestasi kelab pada ketika ini,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Penyokong Selangor meluahkan rasa tidak puas hati kepada pengurusan pasukan itu selepas Selangor tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Hal itu terjadi apabila The Red Giants tewas 3-2 di tangan Persib Bandung. Selain itu, Selangor juga masih belum merekodkan sebarang kemenangan dalam ACL2 musim ini.
Situasi ini mendorong penyokong Selangor mengadakan protes di luar Stadium MBPJ selepas tamat perlawanan Selangor dan Persib pada 6 November lalu.
Hal ini mendorong kapten dan pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim tampil bertemu dengan penyokong dan menenangkan situasi tegang tersebut.