Pemain pertahanan skuad Terengganu, Shahrul Nizam menyasarkan sasaran kedudukan lebih baik bersama skuad Penyu.
Shahrul Nizam yang menggalas sebagai Kapten pasukan akui perlu menggandakan lagi usaha untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad Peteh itu bagi musim 2025-2026.
Shahrul atau lebih dikenali dengan nama Nijey itu menganggap tiada jaminan untuk mana-mana pemain bagi mengisi kesebelasan utama setiap perlawanan melainkan menunjukkan aksi yang baik ketika sesi latihan.
Nijey turut berharap agar peminat setia skuad Peteh memberikan mereka peluang dan masa untuk kesefahaman bagi mendapat tempat di kedudukan 4 terbaik bagi musim ini.
Pada musim lepas Nijey telah melakukan 37 penampilan bersama skuad Terengganu bagi kesemua pertandingan yang skuad Peteh sertai.
“Alhamdulillah, setakat ini semua baik dan dengan kehadiran pemain baru tempatan yang pernah beraksi dalam Liga Super, selain pemain import baru, Insya-Allah, pasukan kami akan lebih baik musim ini,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
“Untuk mencari keserasian mungkin akan memakan masa. Tahun lalu kami pasukan lima teratas, jadi musim ini sasarannya lebih sedikit berbanding musim lalu.”
“Saya juga tidak tahu saya akan dapat bermain atau tidak tetapi saya akan mencuba untuk bersaing kerana di Terengganu, pertahanan tengah semuanya berkualiti, tidak kira pemain tempatan atau import, jadi tiada jaminan. Ia persaingan yang sihat,” kata Shahrul Nizam menurut laporan Stadium Astro.