Bek tengah Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar mengakhiri musim 2025/26 lebih awal selepas mengalami kecederaan serius ketika menentang KL City FC.
Sharul tidak dapat meneruskan permainan pada minit ke-38 akibat kecederaan. Susulan itu, pengendali Selangor, Christophe Gamel memasukkan Harith Haiqal Adam Afkar sebagai pengganti beliau.
Kini, pengurusan Merah Kuning mengesahkan Sharul mengalami kecederaan ligamen anterior krusiat (ACL) dan bahagian meniskus.
“Daripada keputusan ujian MRI, beliau disahkan mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament injury (ACL) dan meniskus.
“Beliau akan menjalani program prapemulihan selama dua minggu bagi mengurangkan kesakitan, bengkak dan meningkatkan daya pergerakan kaki sebelum menjalani pembedahan, yang dijangka melibatkan rekonstruksi ACL dan pembaikan meniskus,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Hal ini dijangka merumitkan perancangan Gamel lebih-lebih lagi menjelang aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Negeri Sembilan FC pada 29 Oktober ini.
Harith Haiqal dijangka menjadi pilihan jurulatih Perancis itu untuk bergandingan dengan Richmond Ankrah di bahagian pertahanan.