Sheikh Farouk Bakal CEO Baharu Terengganu?
MakanBola
Terengganu FC

Bekas pengarah urusan AEON Big, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed disebut-sebut bakal menggalas peranan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC.

Jawatan CEO Terengganu kosong apabila penyandang sebelumnya, Mohd Sabri Abas menggalas peranan Setiausaha Majlis Perbandaran Dungun pada Mei lalu.

Susulan itu, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Terengganu FC Sdn Bhd (TFCSB), Hishamuddin Abdul Karim memaklumkan peranan tersebut akan digalas oleh seorang tokoh korporat.

Sejak itu, ramai penyokong Terengganu ternanti-nanti siapa figura yang akan mengisi jawatan CEO tersebut.

Apabila perkara itu diajukan kepada Hishamuddin dalam sesi Dialog dan Soal Jawab Terengganu FC pada Julai lalu, beliau meminta penyokong bersabar dan percaya dengan proses yang dijalankan.

“Kita telah lakukan temuduga tertutup. Ada dua calon yang merupakan ahli korporat. Insya Allah, seorang akan jadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan salah seorang lagi kita akan serap menjadi pengarah dalam ahli lembaga TFCSB.

“Kedua-duanya hebat belaka, kami akan maklumkan selepas rundingan antara pihak pentadbiran dengan kedua-dua mereka. Jangan gopoh,” katanya seperti dilaporkan portal TRDI.my.

Kini, wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam mendedahkan calon CEO baharu Terengganu ialah Sheikh Farouk.

“Kita berdarah hitam dan putih, CEO baharu akan tiba,” katanya di X. Zulhelmi turut memuat naik gambar Sheikh Farouk bersama ciapan berkenaan.

Sheikh Farouk bukan asing dengan bola sepak negara. Ini kerana beliau pernah menjalinkan kerjasama dengan Malaysian Football League (MFL) dan Terengganu semasa menjadi pengarah urusan AEON Big.

Sheikh Farouk ketika ini menggalas peranan sebagai CEO Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).