“Shopee Cup Adalah Kejohanan Berbeza” – Katsuhito Kinoshi
MakanBola
Selangor FC

Jurulatih Selangor, Katsuhito Kinoshi kekal tenang meskipun pasukan dilanda prestasi tak menentu menjelang aksi Asean Club Championship (ACC) Shopee Cup berdepan Tampines Rovers.

Aksi minggu kedua Shopee Cup bakal menemukan Selangor dan wakil Singapura Tampines Rovers dengan Sang Gergasi Merah dirudum prestasi hambar selepas tumpas dalam dua perlawanan terakhir.

Sementara Tampines Rovers hadir ke Kelana Jaya membawa rekod kebal tanpa kalah sepanjang musim ini dengan terbaru The Staggers baru saja mengalahkan FC Kaya di pentas AFC Champions League Two.

Menurut Katsuhito Kinoshi, beberapa siri keputusan yang tidak memihak Selangor belakangan ini memberi tekanan hebat kepada pasukan namun ini adalah lumrah dalam tugas beliau.

”Sudah tentu ada tekanan tetapi kenapa saya di sini adalah untuk mengambil tanggungjawab. Ini adalah kerja saya,” kata Katsuhito Kinoshi ketika sidang media menentang Tampines Rovers.

Tambah beliau, pemain-pemain Selangor perlu memberikan tumpuan sepenuhnya untuk kempen Shopee Cup kerana ini adalah kejohanan berbeza dan tidak membabitkan dua aksi sebelum ini.

”Kita semua tahu ini (Shopee Cup) adalah kejohanan yang berbeza jadi kami perlu mengubah minda dan cara berfikir (untuk aksi menentang Tampines Rovers ini).”

“Sebagai contoh, kami seri menentang Buriram United dalam aksi Shopee Cup, jadi tiada kena mengena dengan kekalahan kepada Kuching City dan Bangkok United,” jelas Kinoshi.

Untuk rekod, Selangor telah mencatatkan 4 kemenangan, satu keputusan seri dan 4 kekalahan dalam 9 perlawanan musim ini sekaligus mencetuskan rasa gusar dalam kalangan peminat.

Aksi Selangor vs Tampines Rovers bakal berlangsung pada Rabu, 24 September di Stadium MBPJ dengan sepak mula aksi dijadualkan tepat jam 9 malam.