Shopee Cup: JDT Mengaum Gagah Kalahkan Lion City Sailors
MakanBola
JOHOR SOUTHERN TIGERS

JDT berjaya menundukkan kelab dari Singapura, Lion City Sailors dengan keputusan 3-1 bagi aksi pembukaan Shopee Cup skuad tersebut pada Khamis di Stadium Sultan Ibrahim.

Skuad tuan rumah, JDT menurunkan Andoni Zubiaurre di bahagian penjaga gol dan Eddy Israfilov sebagai benteng pertahanan manakala Jairo Da Silva mengemudi jentera serangan.

Pasukan pelawat, Lion City Sailors membariskan Ivan Susak di kubu gawang skuad tersebut dan Toni Datkovic menggalas lilitan kapten bagi aksi petang ini.

JDT tidak menunggu lama untuk membuka akaun jaringan perlawanan menerusi Joao Figueiredo hasil sepakan penalti seawal minit ke 7′ berpunca dari kekasaran Safuwan Baharudin keatas pemain JDT di kawasan kotak penalti Lion City Sailors.

Joao Figueiredo berjaya menambah jaringan bagi skuad Harimau Selatan pada minit ke 16′ hasil gerakan cantik Arif Aiman di sebelah kanan Lion City Sailors yang memberikan bantuan jaringan kepada pemain warisan Malaysia tersebut.

Lion City Sailors terus melancarkan serangan berbahaya pada minit ke 22′ namun percubaan tersebut tersasar jauh dari gawang skuad JDT.

Memasuki minit ke 30′ kedudukan masih didahului oleh pasukan tuan rumah, JDT yang tampak masih menguasai perlawanan di separuh masa pertama.

Rui Peres dilayangkan kad kuning pada minit ke 47′ untuk menjadikan beliau pemain kedua yang menerima kad kuning bagi skuad Lions City Sailors bagi aksi ini selepas Safuwan Baharudin.

Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan 2-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, JDT.

Keluar dari bilik persalinan, kedua-dua pasukan dilihat melancarkan beberapa serangan berbahaya ke gawang masing-masing namun tiada jaringan ditemui.

Memasuki minit ke 60′ perlawanan masih didahului oleh pasukan tuan rumah, JDT bagi memastikan membawa pulang 3 mata penuh bagi aksi pembukaan Shopee Cup.

Skuad JDT membuat pertukaran pada minit ke 70′ dengan memasukkan Afiq Fazail dan mengeluarkan Samuel Castillejo.

Selain itu, Lion City Sailors turut melakukan pertukaran dengan menggantikan Song Ui-young dengan Shawal Anuar.

Diogo Costa berjaya meledak jaringan pada minit ke 79′ namun gol tersebut dibatalkan kerana pemain Lion City Sailors tersebut dikesan dalam kedudukan ofsaid.

Memasuki minit ke 90′ JDT terus berdisiplin menjaga gawang dari dibolosi oleh pasukan Lion City Sailors yang kian meningkatkan intensiti permainan.

Arif Aiman melengkapkan kemenangan dengan jaringan ke 3 skuad Harimau Selatan pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Skuad Lion City Sailors mendapat jaringan pertama pada minit akhir perlawanan oleh Shawal Anuar bagi membawa bekalan satu gol ke Singapura.

Perlawanan separuh masa kedua tamat dengan keputusan 3-1 memihak kepada Johor Darul Ta’zim.