Shopee Cup: “Jika Ada 5 Minit Lagi, JDT Boleh Menang” – Xisco Munoz
MakanBola
JOHOR SOUTHERN TIGERS

Ini ungkapan ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz sekiranya masa tambahan dilanjutkan lagi 5 minit.

JDT terpaksa akur apabila harus bekerja keras demi meraih satu mata berharga di halaman lawan pada aksi ke-3 saingan Shopee Cup 2025-2026 pada Khamis.

Aksi tersebut menampilkan persembahan yang luar biasa oleh wakil Kemboja, Svay Rieng apabila tampak menguasai perlawanan pada separuh masa pertama.

Wakil Kemboja, Svay Rieng berjaya mendahului perlawanan pada babak pertama dengan dua jaringan sebelum JDT memberikan luka kepada pasukan tersebut pada masa kecederaan separuh masa kedua apabila berjaya merobek dua kali gawang kelab julukan The Blue Saber menerusi Shane Lowry & Corbin Ong.

Menurut Xisco Munoz, babak kedua Harimau Selatan tampak meningkatkan gaya permainan dan sekiranya masa tambahan dilanjutkan lagi 5 minit JDT bakal keluar selaku pemenang dalam aksi ini.

“Di separuh masa kedua, kami mula meningkat gaya, karakter dan tenaga. Jika perlawanan bersambung lima minit lagi, mungkin kami dapat tiga mata,” kata Xisco Munoz ketika sidang media selepas perlawanan menentang Svay Rieng.

Ketika ini, JDT berada di tangga teratas kumpulan B Shopee Cup 2025-2026 dengan 7 mata hasil dua kemenangan dan sekali seri setelah 3 perlawanan, hanya satu mata dipisahkan dari kelab Vietnam, Nam Dinh.