Rekod Kebal Jadi Sandaran Tampines Rovers Hadapi Selangor
MakanBola
BG Tampines Rovers FC

Rekod tanpa kalah dijangka menjadi azimat Tampines Rovers apabila turun menentang Selangor FC dalam aksi kedua Kumpulan A Shopee Cup.

Musim 2025/26 menyaksikan pasukan yang diberi jolokan The Stags itu masih belum tewas dalam mana-mana kejohanan setakat ini.

Saingan Singapore Premier League (SPL) menyaksikan pasukan itu kini di tangga kedua liga dengan empat mata. Ini selepas Tampines Rovers merekodkan satu kemenangan dan satu seri setakat ini.

The Stags turut memiliki rekod baik dalam saingan Shopee Cup dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2). Ini kerana Tampines Rovers sudah memenangi aksi pertama Kumpulan A Shopee Cup dan Kumpulan H ACL2.

Tampines Rovers berjaya menewaskan Dynamic Herb (DH) Cebu 3-1 pada 20 Ogos. Ini disusuli kejayaan menewaskan satu lagi wakil Filipina, Kaya FC-Iloilo dalam aksi pertama Kumpulan H.

The Stags juga tidak gentar bila berdepan lawan yang berstatus pasukan pilihan. Ini membantu pasukan itu bergelar juara Singapore Community Shield dengan menewaskan Lion City Sailors (LCS).

Meskipun mengalami perubahan tampuk kejurulatihan dari Akbar Nawas kepada Noh Rahman, itu langsung tidak menjejaskan Tampines Rovers mengekalkan rekod tanpa kalah mereka.

Justeru, Selangor dijangka perlu menampilkan prestasi terbaik bukan saja untuk melakar kemenangan pertama dalam Shopee Cup.

Malah, ini juga peluang buat anak buah Katsuhito Kinoshi menamatkan rekod kebal Tampines Rovers dalam semua kejohanan setakat ini.

Merah Kuning dan The Stags bakal berentap di Stadium MBPJ pada 24 September ini.