Shopee Cup: Selangor Buntu Diikat DH Cebu
MakanBola
SELANGOR FC

Selangor diikat wakil Filipina, DH Cebu dalam aksi ke-3 saingan Shopee Cup musim ini dengan keputusan 1-1 di halaman lawan pada Rabu.

The Red Giants membariskan Kalamullah Al Hafiz di benteng terakhir dan Mukhairi Ajmal sebagai ketua pasukan manakala Willian Lira mengemudi jentera serangan.

Sementara itu, DH Cebu menurunkan Rami Jeridi di bahagian penjaga gol dan Rico Andes menjadi ayam tambatan pasukan tersebut bagi aksi ini.

Wakil Filipina, DH Cebu bermula garang dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya ke arah kubu Selangor apabila mendapat tonik tambahan penyokong -penyokong yang hadir ke stadium namun gagal menepati sasaran.

Selangor dilihat turut memberi tekanan kepada pasukan DH Cebu menerusi gerakan barisan hadapan yang diketuai oleh Willian Lira.

Memasuki minit ke 30′ kedudukan masih terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan meskipun menampilkan aksi yang cukup bertenaga.

Kalamullah Al-Hafiz berjaya menepis satu percubaan tepat oleh pemain DH Cebu pada penghujung separuh masa pertama bagi memastikan gawang Selangor tidak dibolosi.

Aksi babak pertama tamat dengan keputusan terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan.

Bersambung babak kedua, DH Cebu berjaya membuka akaun jaringan seawal minit ke-49 menerusi bintang kelab tersebut, Abou Sy sekaligus menjarakkan kedudukan aksi dengan satu gol.

Berselang beberapa minit, The Red Giants menyamakan kedudukan kembali hasil ledakan berbisa pemain berprolifik dari Brazil, Willian Lira sekaligus memberikan kelegaan kepada kem pasukan Selangor.

Pemain sayap kiri Selangor, Omid Musawi terpaksa dikeluarkan pada minit ke-71 kerana mengalami kecederaan dan digantikan oleh bintang muda, Harry Danish.

Memasuki minit ke-75 kedudukan masih kekal 1-1 bagi kedua-dua pasukan meskipun Selangor & DH Cebu mempunyai lambakan peluang berharga.

Picha Autra melepaskan satu rembatan kencang pada minit ke-83 namun percubaan tersebut hanya singgah di atas palang pasukan lawan.

Aksi tamat dengan keputusan terikat 1-1 bagi kedua-dua pasukan bagi aksi ke-3 saingan Shopee Cup musim ini.