Shopee Cup: Selangor Hilang Takhta Pendahulu Kumpulan A
MakanBola
Selangor FC

Selangor terpaksa akur kehilangan tempat di takhta teratas kumpulan A Shopee Cup selepas seri menentang DH Cebu.

Aksi Shopee Cup minggu ke-3 kembali berlangsung bermula Rabu dengan 6 perlawanan menarik disajikan termasuklah pertemuan antara DH Cebu vs Selangor yang berlangsung di Filipina.

Sebelum aksi bermula, Selangor kekal gah di tangga teratas kumpulan A dengan mengutip 4 mata selepas mencatatkan satu kemenangan dan sekali seri dalam dua perlawanan lalu.

Impian Sang Gergasi Merah untuk memperoleh kemenangan kedua pada aksi berdepan DH Cebu ini bagaimanapun tidak kesampaian apabila terikat seri 1-1 hasil jaringan penyamaan Willian Lira.

Sebelum itu, DH Cebu yang dibimbing Glenn Ramos berjaya membuka tirai jaringan dua minit bersambung babak kedua menerusi tandukan penyerang, Abou Sy yang menewaskan Kalamullah.

Keputusan seri 1-1 di Manila menyaksikan Selangor dipintas oleh Tampines Rovers yang berjaya bangkit dari ketinggalan dua gol sebelum mengatasi BG Pathum 3-2 di laman sendiri.

Sementara itu, satu lagi aksi menarik menemukan dua finalis musim lalu, Buriram United dan CAHN yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 selepas Bissoli memadam kelebihan awal kelab Vietnam itu.

Kedudukan semasa meletakkan Selangor di tangga kedua dengan 5 mata hasil satu kemenangan dan dua keputusan seri, satu mata di belakang Tampines Rovers yang bergelar pendahulu.

BG Pathum dan CAHN masing-masing berkongsi 4 mata di tangga ke-3 dan ke-4 setelah 3 perlawanan tatkala Buriram United dan DH Cebu di dua kedudukan tercorot kumpulan A.