Kemenangan ke atas Tampines Rovers berjaya melonjakkan kedudukan Selangor dalam carta kumpulan A Asean Club Championship (ACC) Shopee Cup.
Pada Rabu, Selangor turun dengan misi penting mengutip 3 mata pertama dalam kempen Shopee Cup selepas terpaksa akur terikat seri 1-1 menentang Buriram United dua minggu lalu.
Impian besar tersebut tercapai hasil kejayaan menumpaskan Tampines Rovers 4-2 dengan Faisal Halim, Zack Clough dan Alvin Fortes mencetak nama selaku penjaring buat Selangor.
Satu lagi gol Selangor pula terhasil menerusi jaringan sendiri pertahanan Tampines Rovers, Shuya Yamashita di awal aksi sekaligus memberi 3 mata sulung buat tuan rumah di Shopee Cup.
Kemenangan ini meletakkan Sang Gergasi Merah kini berada di puncak kumpulan A dengan 4 mata, berkongsi kedudukan bersama BG Pathum di tempat kedua akan tetapi dipisahkan beza jaringan.
Manakala Tampines Rovers serta CAHN masing-masing di tempat ke-3 dan ke-4 dengan satu kemenangan dan satu kekalahan selepas dua perlawanan Shopee Cup musim ini.
Buriram United yang diikat BG Pathum 2-2 pula terpaksa akur menghuni kedudukan ke-5 kumpulan A dengan satu mata dan DH Cebu di tangga tercorot tanpa sebarang mata.
Aksi ke-3 Shopee Cup bakal berlangsung pada 3 Disember dengan Selangor akan terbang ke Filipina untuk menentang DH Cebu manakala Tampines Rovers menanti kehadiran BG Pathum.