Selangor berjaya membenam cabaran skuad Tampines Rovers dengan keputusan 4-2 dalam aksi kedua Shopee Cup pada Rabu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Skuad The Red Giants menurunkan Kalamullah Al Hafiz di benteng terakhir dan penyerang sensasi, Chrigor Moraes mengemudi jentera serangan manakala Faisal Halim menggalas lilitan kapten.
Sementara itu, Tampines Rovers membariskan penjaga gol, Syazwan Buhari dan Hide Higashikawa di bahagian hadapan skuad tersebut.
Pasukan Selangor dilihat terus melancarkan serangan berbahaya ke arah gawang skuad Tampines Rovers bagi mencari gol pembukaan dan bangkit dari kekalahan tempoh hari.
Selangor berjaya mendapatkan gol pembukaan hasil kesilapan pemain Tampines Rovers iaitu Shuya Yamashita pada minit ke 18′ aksi.
Selepas itu, Zack Clough menambah jaringan kedua perlawanan pada minit ke 30′ dengan rembatan mudah di hadapan gawang skuad Tampines Rovers.
Tampines Rovers yang tampak tertekan dengan dua gol skuad Selangor berjaya mendapatkan sepakan penalti pada penghujung masa babak pertama.
Kohya Kazama meledak sepakan penalti tersebut pada minit ke 41′ bagi merapatkan defisit gol perlawanan.
Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan keputusan 2-1 memihak kepada pasukan tuan rumah, Selangor.
Bersambung babak kedua perlawanan, skuad Selangor tidak mengendurkan asakan meskipun sudah berada di hadapan dengan 1 jaringan.
The Red Giants mengeluarkan pemain bernombor 55, Harith Haiqal dan memasukkan Shahrul Nazeem bagi memastikan barisan pertahanan lebih kukuh.
Faisal Halim berjaya meledak jaringan kedua peribadi bagi aksi malam ini pada minit ke 51′ untuk menjarakkan skuad Selangor dengan Tampines Rovers.
Seterusnya, Alvin Fortes menambah derita skuad julukan The Stags pada minit ke 58′ aksi bagi mematikan langkah pasukan pelawat, Tampines Rovers.
The Stags turut menambah jaringan kedua skuad tersebut menerusi penyerang berprolifik, Hide Higashikawa pada minit ke 65′ perlawanan.
Memasuki minit ke 75′ aksi kedudukan masih didahului oleh pasukan tuan rumah, Selangor dengan dua gol.
Tampines Rovers meningkatkan serangan berbahaya pada 10 minit terakhir perlawanan bagi mencari gol ke 3 dan ke 4 skuad tersebut.
Perlawanan tamat dengan keputusan 4-2 memihak kepada pasukan tuan rumah, Selangor bagi memastikan skuad The Red Giants membawa pulang 3 mata penuh.