Pengendali Buriram United, Osmar Loss Vieira mengakui taktikal Selangor FC bakal memberi cabaran kepada jentera serangan pasukan itu.
Hal ini dinyatakan jurulatih Brazil itu apabila ditanya tentang taktikal permainan anak buah Katsuhito Kinoshi itu.
Vieira menyifatkan bukan mudah menembusi benteng The Red Giants terutama dengan lima pemain di bahagian pertahanan.
Pada masa sama, jurulatih berusia 50 tahun itu percaya penguasaan bola dan kawalan tempo permainan sebagai kunci menjelang aksi pertama Kumpulan A Shopee Cup.
“Mereka bermain dengan lima pemain pertahanan dan empat pemain tengah, itu satu tugas sukar untuk menembusi benteng (Selangor).
“Tetapi untuk perlawanan ini, kita perlu mengekalkan penguasaan bola, mengelak kehilangan bola mudah dan mengawal tempo serangan balas pihak lawan,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan.
Buriram turut mendapat suntikan semangat apabila pemain pertahanan Indonesia, Sandy Walsh sah menyertai pasukan itu. Walsh melengkapkan perpindahan dari Yokohama F. Marinos.
Thunder Castle dan The Red Giants bakal berentap di Stadium Buriram untuk aksi pembukaan Kumpulan A pada 20 Ogos.