Kekeliruan tercetus dalam aksi Piala Belia 2025 apabila hantaran media sosial Selangor FC tersilap melabel pasukan JDT V sebagai skuad B-18 sedangkan ia sebenarnya dibarisi pemain berusia 16 tahun.
Dalam perlawanan Piala Belia yang berlangsung pada Ahad, JDT V berjaya mengejutkan pasukan Selangor B-18 dengan kemenangan 2-1 hasil persembahan cemerlang meskipun bermain di tempat lawan
Gol pertama perlawanan hadir pada minit ke-14 apabila ketua pasukan, Arayyan Hakeem menyempurnakan peluang untuk meletakkan JDT V di hadapan sehingga tamat aksi di babak pertama.
Selangor B-18 yang menghuni tangga kedua carta Piala Belia tidak berputus asa dan menyamakan kedudukan menerusi jaringan Zarul Aidid pada minit ke-53, sebaik memasuki aksi babak kedua.
Walau bagaimanapun, debaran penyokong terlerai ketika di penghujung aksi apabila Umar Ikhwan muncul wira pasukan JDT V dengan menyumbat gol kemenangan pada minit ke-89.
Kesilapan maklumat dimuat naik di media sosial Selangor FC telah menimbulkan salah faham dalam kalangan penyokong apabila mereka menyangka skuad B-18 JDT yang turun beraksi.
Hakikatnya, JDT V adalah pasukan yang dibarisi pemain B-16 sementara skuad B-18 Harimau Selatan yang turut beraksi di Piala Belia menggunakan nama JDT IV pada kejohanan bagi peringkat umur ini.
Kemenangan berharga ini mengekalkan JDT V di kedudukan ke-5 carta dengan kutipan 25 mata sementara Selangor B-18 berada di tangga kedua dengan 39 mata, di belakang JDT IV.
Sorotan ini sekaligus membuktikan bahawa barisan pemain muda JDT yang berusia 16 tahun turut miliki potensi besar untuk mencabar pasukan yang lebih berpengalaman di pentas Piala Belia.