Singapura Bawa 25 Pemain Liga Tempatan Bertemu Malaysia
MakanBola
FA Singapore

Singapura mengambil langkah memanggil 25 pemain yang beraksi dalam Singapore Premier League (SPL) untuk aksi persahabatan menentang Harimau Malaya.

Ini selepas Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengumumkan senarai 25 pemain untuk dua aksi persahabatan negara itu pada September ini.

Pemangku jurulatih The Lions, Gavin Lee memanggil ramai tonggak berpengalaman untuk aksi menentang Malaysia dan Myanmar.

Antara yang dipanggil ialah bekas kapten Selangor FC, Safuwan Baharudin, Izwan Mahbud, Nazrul Nazari, Shawal Anuar dan Song Ui-young.

Selain itu, beberapa pemain juga berpeluang meraih penampilan pertama bersama Singapura. Antaranya ialah Rudy Khairullah, Jared Gallagher dan Ignatius Ng.

Lee turut memilih tidak memanggil beberapa pemain yang berpangkalan di luar negara untuk dua aksi persahabatan Singapura. Antara yang tidak dipanggil ialah Irfan Fandi, Ilhan Fandi, Ikhsan Fandi, Kyoga Nakamura dan Jordan Emaviwe.

Bekas kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Hariss Harun juga tidak tersenarai dalam skuad kali ini. Ini kerana orang besi Lion City Sailors (LCS) itu masih menjalani proses pemulihan kecederaan.

Skuad akhir yang dipilih Lee bakal diumumkan pada 31 Ogos ini. Beliau akan dibantu bekas pemain Singapura, Fahrudin Mustafic sebagai penolong jurulatih.

Singapura akan menentang Malaysia untuk aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 pada 4 September. Ini disusuli aksi persahabatan tertutup menentang Myanmar pada 9 September.