Singapura Disebut Calon Lawan Harimau Malaya
MakanBola
FAS/MNT

Skuad Harimau Malaya dijangka bakal berdepan negara jiran, Singapura dalam aksi persahabatan September ini.

Terdahulu, ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski berkata suatu pelan alternatif bakal dijalankan untuk menjadi pengganti kepada aksi skuad kebangsaan pada jendela FIFA di bulan September nanti.

Ini susulan penarikan diri pasukan negara dari saingan CAFA Nations Cup 2025 selepas mengambil kira beberapa faktor antaranya isu pelepasan pemain dan jadual penerbangan ke rantau Asia Tengah.

”Kami ada perancangan A, B dan C, jadi kami bersedia untuk menjalankan pelan itu,” kata Peter Cklamovski kepada Astro Arena.

Makluman terbaharu dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam menyebut negara jiran, Singapura akan menjadi salah satu calon pasukan lawan Harimau Malaya.

”Dalam radar, difahamkan Singapura antara calon untuk aksi persahabatan antarabangsa buat Harimau Malaya (di bulan) September nanti,” lapor Zulhelmi Zainal Azam di laman X.

Pengumuman mengenai perkara ini dijangka bakal diketahui pada minggu hadapan seperti mana dilaporkan oleh seorang lagi wartawan, T. Avineshwaran pada Jumaat lalu.