Skuad futsal Malaysia bakal mengatur dua aksi pemanas badan di Thailand sebagai persiapan menghadapi kelayakan Piala Asia Futsal 2026.
Dua aksi tersebut menyaksikan Malaysia akan menentang skuad kebangsaan Thailand dan kelab Thailand, Chonburi Bluewave.
Perkara ini didedahkan oleh jurulatih negara, Rakhpol Sainetngam apabila ditanya tentang persiapan pasukan itu menghadapi kelayakan Piala Asia Futsal 2026.
“Selepas 8 September, kita akan berangkat ke Thailand. Kita akan ada dua perlawanan persahabatan.
“Satu dengan skuad kebangsaan Thailand dan satu lagi dengan Chonburi Bluewave. Selepas itu, kita akan bertolak ke Pahang sebagai persiapan kelayakan Piala Asia Futsal 2026,” katanya.
Malaysia berada dalam Kumpulan G bersama dua pasukan Asia Barat, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Bangladesh turut berada dalam kumpulan sama.
Malaysia akan membuka kempen kumpulan dengan menentang UAE pada 20 September. Ini disusuli aksi menentang Bangladesh pada 22 September dan Iran (24 September).