Pengurusan skuad futsal Sabah tampil menyatakan rasa kesal berhubung pergaduhan membabitkan jurulatih dan penolong jurulatih pasukan itu baru-baru ini.
Aksi penentuan tempat ketiga Malaysia Futsal Cup (MFC) dicemari dengan insiden jurulatih Sabah, Roger Filipe Gouveia Augusto bertelagah dengan pembantu beliau.
Selepas Filipe cuba masuk ke gelanggang, penolong jurulatih Sabah itu cuba menenangkan beliau. Malangnya, penolong jurulatih itu kemudiannya disiku jurulatih Brazil itu.
Hal ini memaksa penolong jurulatih Sabah itu menumbuk Filipe dan menjatuhkannya ke lantai. Kedua-dua individu itu kemudiannya dipisahkan oleh pemain dan staf pasukan Sabah.
Susulan itu, pengurusan Sabah menyatakan rasa kesal atas apa yang berlaku. Pengurusan pasukan turut memaklumkan satu siasatan dalaman akan dijalankan berhubung insiden berkenaan.
“Pihak Pasukan Futsal Sabah mengakui dan amat kesal akan peristiwa pertengkaran yang berlaku selepas perlawanan Futsal antara Sabah FA dan Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Insiden itu melibatkan konfrontasi fizikal antara jurulatih dan staf pasukan Keganasan dalam apa jua bentuk tidak boleh diterima dan tidak mencerminkan nilai, profesionalisme, dan piawaian yang Sabah FA menjunjung.
“Kami mengambil perkara ini dengan serius. Siasatan dalaman telah dimulakan dan tindakan tegas akan diambil mengikut tatakelakuan kami dan peraturan yang berkaitan,” katanya.
Sabah menamatkan kempen MFC di tangga keempat selepas tewas 4-3 kepada JDT.