Skuad Muda Singapura Dibelasah Bangladesh
MakanBola
FA Singapore

Skuad Singapura menamatkan kempen kelayakan Piala Asia B-23 2026 tanpa sebarang kemenangan apabila dibelasah Bangladesh 4-1.

Selepas kedua-dua pasukan tersingkir dalam Kumpulan C kerana tewas dalam dua aksi sebelumnya, aksi ini dilihat peluang untuk meraih kemenangan.

Kedua-dua pasukan berusaha mencari gol awal pada separuh masa pertama tetapi gagal. Ini memastikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, permainan membabitkan Singapura dan Bangladesh semakin rancak. Kedua-dua pasukan berusaha mencari gol pendahuluan.

Bangladesh yang dibimbing Saiful Bari Titu meraih gol pendahuluan menerusi Fahamedul Islam pada minit ke-70.

Tiga minit kemudian, penyerang Dhaka Ahabani, Mohammed Al-Amin pula mencetak nama sebagai penjaring untuk Bangladesh.

Mohsin Ahmed menambah derita The Young Lions menerusi gol pada minit ke-80. Shekh Morsalin melengkapkan pesta gol Bangladesh dengan gol keempat pada minit ke-83.

Pemain sayap Vizela, Khairin Nadim Rahim menyumbat gol saguhati buat Singapura pada minit akhir perlawanan.

Vietnam dan Yaman kini berentap bagi menentukan siapa pasukan bergelar juara Kumpulan C sekaligus layak secara merit ke Piala Asia B-23.