Skuad wanita Malaysia tumpas kepada pasukan kebangsaan Azerbaijan dengan keputusan 2-0 dalam aksi Tri Nation FIFA Tier 1 pada Sabtu di Stadium Nasional, Dhaka, Bangladesh.
Pasukan kebangsaan Azerbaijan membariskan Aytaj sebagai penjaga gol dan Sevinj menggalas lilitan kapten pasukan manakala Esra mengemudi jentera serangan.
Malaysia menurunkan Azurin di benteng terakhir manakala Nurhadfina sebagai pertahanan kiri dan Steffi Sarge mengetuai kesebelasan utama pasukan.
Azerbaijan tidak menunggu lama untuk membuka akaun jaringan aksi pada minit ke-3 apabila pemain bernombor 20, Bozdag Peritan berjaya meledak gol cantik dalam kawasan kotak penalti pasukan Malaysia sekaligus memberikan kelegaan kepada kem pasukan tersebut.
Malaysia tampak meningkatkan serangan bagi memperoleh gol penyamaan menerusi penyerang sensasi, Ainsyah namun tidak menemui jaring pasukan Azerbaijan.
Azerbaijan berjaya menambah gol kedua aksi pada minit ke-24 menerusi Mirazliyeva Nigar hasil sepakan jauh dari luar kotak penalti bagi memastikan pasukan julukan The Land of Fire mendahului perlawanan dengan 2 gol.
Memasuki minit ke 35′ pasukan kebangsaan Malaysia masih gagal menembusi gawang pasukan Azerbaijan meskipun melakukan beberapa serangan berbahaya.
Aksi separuh masa pertama tamat dengan keputusan 2-0 memihak kepada pasukan kebangsaan Azerbaijan.
Memasuki babak kedua perlawanan Malaysia tampak meningkatkan intensiti perlawanan bagi mencari gol pertama sekaligus merapatkan kembali defisit jaringan.
Azerbaijan dilihat melancarkan beberapa percubaan berbahaya ke kubu pasukan Malaysia namun ketangkasan penjaga gol gantian, Nur Ezza Ashikin harus diberi pujian.
Malaysia turut melakukan serangan balas menerusi pemain bernombor 7, Jaciah namun berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan lawan.
Azerbaijan memiliki peluang keemasan untuk menambah jaringan ke-3 aksi menerusi Acar Yeliz pada minit ke-83 namun beliau gagal memanfaatkan hantaran bola cantik di hadapan gawang pasukan Malaysia.
Aksi tamat dengan keputusan 2-0 memihak kepada pasukan kebangsaan Azerbaijan.