Kelab bola sepak wanita, FC Spicegals mencipta sejarah tersendiri apabila muncul juara sulung Kejohanan RSC International Soccer 7s selepas menewaskan Selangor FC dengan keputusan 2-0.
FC Spicegals yang yang membariskan pemain-pemain dari skuad Liga Wanita FAS mempamerkan aksi mantap bermula dari peringkat kumpulan hingga layak ke final dan berjaya bergelar juara yang dianggap sebagai persediaan terbaik ketika pasukan berada di luar musim.
Pengurus Besar FC Spicegals, Aisha Wilkinson nyata gembira dengan kejayaan ini lebih-lebih lagi apabila itu adalah sasaran utama kelab ketika menyertai kejohanan ini selain berjaya menewaskan pasukan yang lebih berpengalaman seperti Selangor FC.
“Kami hanya ada satu sasaran apabila menyertai kejohanan ini iaitu untuk menjadi juara. Terima kasih kepada para pemain, kami berjaya mencapainya dan saya sangat gembira dengan keputusan ini,”
“Selepas tewas kepada Selangor FC di peringkat kumpulan 0-3, kami sedar bahawa mereka adalah satu pasukan yang bagus kerana sudah lama berlatih bersama dan mereka ada ramai pemain muda yang sangat berbakat,”
“Namun kami kembali bangkit dan berjaya mengatasi mereka di final dan saya menganggap kemenangan ini menunjukkan kami berada di landasan yang tepat dan dengan momentum ini, yakin Spicegals akan tampil lebih kuat dan kompetitif musim hadapan,” katanya.
Dalam kejohanan yang melibatkan lapan pasukan itu, FC Spicegals diletakkan dalam Kumpulan A bersama-sama pasukan Singapore Cricket Club, KDH Morning dan Selangor FC.
Mereka berjaya layak ke separuh akhir dengan menduduki tangga kedua di belakang Selangor FC.
FC Spicegals meraih hadiah wang tunai RM1,000 dan trofi kejuaraan dengan Aisha berharap lebih banyak sokongan dan penajaan dapat diberikan kepada bola sepak wanita.
Aisha turut mahu kejayaan yang diraih mereka menjadi semangat buat kelab-kelab yang lain untuk lebih berjaya.”Saya harap bola sepak wanita terus mendapat perhatian dan sokongan yang sewajarnya daripada penonton, penaja, dan juga pihak pengurusan.
Ramai pemain wanita yang berbakat di luar sana dan mereka layak mendapat peluang serta platform untuk bersinar.
“Bola sepak bukan untuk lelaki sahaja bahkan perempuan juga boleh bermain dan kami mempunyai cerita sendiri yang layak diberi tempat oleh semua pihak,” jelasnya lagi.
Kelab yang ditubuhkan pada tahuh 2020 ini pernah muncul juara Liga Super Wanita Kuala Lumpur 2023 selain layak sehingga separuh akhir saingan Liga Super Wanita FAS 2023 dan suku akhir kejohanan yang sama pada 2024.
Selepas ini, FC Spicegals akan meletakkan sasaran mereka pada kejohanan Liga Super Wanita Kuala Lumpur, Piala Borneo serta kejohanan wanita di Singapura.