Sportflex Rakan Penaja Media Rasmi UM Damansara United
MakanBola
UM Damansara United FC

Sportflex Media & Event Sdn Bhd mengumumkan komitmen mereka selaku penaja rasmi pengurusan media pasukan UM Damansara United yang akan bersaing dalam Liga A1 Semi Pro Malaysia musim 2025.

Syarikat yang berpengkalan di Kuala Lumpur itu menyumbang khidmat profesional meliputi pengurusan media, fotografi perlawanan dan sesi latihan, reka bentuk grafik, produksi kandungan serta aktiviti publisiti pasukan termasuk sesi penggambaran studio.

Semua perkhidmatan ini dijalankan sepenuhnya oleh pasukan produksi Sportflex dengan matlamat memperkenalkan imej baharu yang lebih segar dan tersusun untuk UM Damansara United.

Menurut pemilik Sportflex, Alieff Firdaus, kerjasama ini bukan sekadar urusan penajaan tetapi juga hadir daripada tanggungjawab peribadi sebagai bekas mahasiswa Universiti Malaya.

“Sebagai alumni UM dalam bidang Sarjana Pengadilan Jenayah di Fakulti Undang-Undang pada tahun 2012, saya merasa terpanggil untuk membantu pasukan ini dari sudut pengurusan media,” katanya.

“Sebagai sebuah syarikat media sukan di Malaysia, saya berusaha untuk memberikan branding yang terbaik untuk pasukan ini termasuklah dari sudut penampilan di sosial media serta kemas kini berkaitan pasukan.”

“Semua ini bagi saya dapat memberikan nilai tambah yang baik kepada imej pasukan ini,” tambahnya lagi.

UM Damansara United merupakan pasukan baharu hasil gabungan Universiti Malaya FC yang aktif dalam kejohanan IPT serta Damansara FC yang beraksi dalam Liga A1 musim lalu.

Gabungan dua entiti ini menyatukan kekuatan akademik dan pengalaman semi profesional, dengan Universiti Malaya menyumbang pemain muda berpotensi serta sokongan sains sukan, manakala Damansara FC membawa pengalaman kompetitif dan struktur pengurusan kelab.

Musim ini, UMD United dijangka menjadi antara pencabar utama selepas menampilkan barisan pemain berkaliber termasuk Anuar Ceesay dari England, serta Muhammad Hariz Mansor yang pernah menyertai skuad kebangsaan Bawah 23 tahun dan beraksi bersama Kuching City FC.

Sportflex tampil sebagai antara penaja terawal yang menyatakan komitmen rasmi dalam memacu pengurusan imej dan komunikasi pasukan, seiring usaha UM Damansara United membina identiti sebagai kelab berwibawa dalam bola sepak semi profesional negara.