Stadium Jalan Besar akhirnya kembali digunakan kelab-kelab Singapura untuk saingan di pentas Asia.
Perkara ini diumumkan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi mereka.
Selepas tamat musim 2024/25, proses penggantian rumput daripada rumput tiruan kepada rumput asli dilaksanakan di Stadium Jalan Besar.
Ini selepas AFC memaklumkan semua aksi di peringkat Asia membabitkan kelab atau negara perlu diadakan di atas padang rumput asli.
Sementara proses penggantian rumput dijalankan, kelab Singapura yang beraksi dalam Shopee Cup dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) beraksi di Stadium Bishan.
Kini, Stadium Jalan Besar bakal digunakan buat kali pertama dengan rumput baharu untuk saingan Shopee Cup.
Tampines Rovers yang menjadi tuan rumah akan melayan kunjungan wakil Thailand, BG Pathum United. Aksi itu akan berlangsung pada 3 Disember ini.
Ini disusuli satu lagi aksi Shopee Cup antara Lion City Sailors (LCS) dan wakil Myanmar, Shan United pada 17 Disember di stadium sama.
Stadium Jalan Besar menjadi saksi pelbagai perlawanan ikonik. Ini termasuk aksi final pertama ASEAN Championship 2012 yang menyaksikan Singapura menundukkan Thailand 3-1.
Meskipun tewas 1-0 dalam aksi timbal balik, itu sudah cukup memastikan Singapura meraih gelaran juara edisi berkenaan.