Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekali lagi menjelaskan kesilapan memuat naik dokumen oleh salah seorang staf jadi punca FIFA membuat tafsiran yang tidak tepat terhadap kes pemain warisan Harimau Malaya.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, FAM menegaskan gambaran yang diberikan dalam laporan penuh FIFA adalah tidak tepat, terutamanya dakwaan bahawa pemain berkenaan memperoleh atau mengetahui mengenai dokumen palsu. Menurut FAM, dakwaan itu tidak berasas kerana tiada bukti kukuh dikemukakan setakat ini.
FAM menjelaskan, kesilapan tersebut berpunca daripada ralat pentadbiran atau administrative error, apabila seorang kakitangan tersilap memuat naik dokumen daripada ejen dan bukannya dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Jelas FAM, perkara itu berlaku secara tidak sengaja dan kini sedang diperbetulkan melalui proses rayuan rasmi.
Rayuan tersebut sedang disediakan menggunakan dokumen asal yang sah serta disahkan oleh Kerajaan Malaysia. FAM turut menegaskan bahawa pihaknya kekal komited mempertahankan integriti bola sepak negara dan akan mengemukakan rayuan rasmi berhubung kesimpulan yang dibuat oleh FIFA.
FAM berkata, mereka akan terus berpegang kepada fakta serta dokumen sahih dalam usaha memastikan keadilan kepada pemain dan menjaga reputasi bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa