Jaguh Muay Thai Malaysia, Johan Ghazali berkongsi komen di media sosial berhubung penganjuran kejohanan sukan tempur membabitkan pempengaruh media sosial.
Selepas beliau menegur penganjuran kejohanan sebegini yang dilihat memberi imej negatif kepada sukan tempur terutama Muay Thai, pempengaruh terkenal, Yusuf Azmi tampil memberi reaksi.
Yusuf mengakui tidak terasa dengan komen jaguh berusia 18 tahun itu. Ini kerana pada hematnya, Johan juga perlukan perhatian agar namanya dapat terus dipasarkan dalam arena sukan tempur.
“Saya faham Jojo (nama panggilan Johan) juga perlukan perhatian. Sebab dia antara jaguh Malaysia dalam ONE Championship.
“Dia tak mendapat sokongan, tular atau seumpamanya. Memang sukar untuk ONE Championship nak jual dia.
“Jadi, Warzone World Championship ini dan juga acara besar lain seperti Beyond. Kalau dia tak terap dalam acara-acara macam ini, maka sukar untuk dia mendapat sokongan,” katanya.
Susulan itu, Johan kemudiannya membalas video Yusuf menerusi satu kenyataan tegas di ruang komen.
“Sudahlah memalukan sukan ini pakcik, Saya bukan nak kurang ajar dengan orang tua tapi kalau orang tua perangai macam budak, siapa nak hormat.
“Jojo, keluarga Jojo and ramai lagi orang dalam komuniti sukan tempur ada dalam bidang ini lama sebelum pakcik datang.
“Kita naikkan Muay Thai dari kosong, pak cik datang bila (nama) sudah naik, lepas itu buat perangai tak elok, siapa tak marah pak cik,” katanya.
Johan kini sibuk membuat persiapan untuk pertarungan seterusnya pada hujung tahun ini. Beliau menyerahkan kepada ONE Championship untuk menentukan siapa lawannya selepas ini.