Suka & Duka Christophe Gamel Selepas Selangor Singkirkan Negeri Sembilan
MakanBola
Selangor FC

Christophe Gamel berkongsi rasa bercampur-baur meskipun Selangor mara ke separuh akhir Piala FA setelah atasi Negeri Sembilan dalam aksi suku akhir yang sengit di Kelana Jaya.

Pertembungan suku akhir Piala FA antara Selangor vs Negeri Sembilan pada Rabu berakhir dengan kemenangan agregat 6-3 memihak Selangor walaupun kalah 2-3 setelah tamat 90 minit permainan.

3 gol Negeri Sembilan berjaya dihasilkan menerusi tandukan Harith Samsuri, N. Javabilaarivin serta Mio Tsuneyasu namun dua jaringan oleh Willian Lira dan Faisal Halim sahkan tempat Selangor ke separuh akhir.

Menurut Christophe Gamel, perasaan gembira tetap dirasai oleh beliau selepas berjaya membawa Selangor ke separuh akhir walaupun turun tanpa beberapa tonggak utama pada aksi ini.

Kegembiraan tersebut bagaimanapun tidak mencukupi bagi sembunyikan rasa kecewa beliau terhadap prestasi pemain-pemain senior yang tak memenuhi jangkaan sepanjang aksi.

“Saya berasa berbelah bahagi pada malam ini. Di satu sisi, saya rasa gembira kerana kami berhasil layak ke pusingan seterusnya walaupun melakukan rombakan pemain.”

“Namun dalam masa yang sama saya sedikit kecewa dengan beberapa pemain senior yang tidak beraksi seperti yang saya harapkan,” luah Christophe Gamel ketika sesi sidang media.

Malah, Gamel turut melihat cabaran besar menanti beliau pada 3 perlawanan mendatang bagi membentuk pasukan ampuh dengan tambahan pemain dalam senarai kecederaan ketika ini.

“Dengan 3 aksi penting menanti selepas ini, situasi menjadi lebih mencabar buat saya membentuk kesebelasan terbaik.”

“Kami juga kehilangan dua lagi pemain pada malam ini, jadi walau apa pun percaturan, kami tetap berdepan kesukaran.

“Ia satu cabaran besar, tetapi kami akan terus hadapinya,” kata beliau dengan nada positif.

Selepas ini, Selangor bakal terbang ke Likas untuk bertemu Sabah dalam aksi Liga Super sebelum kembali memberikan fokus kepada saingan AFC Champions League Two (ACL2) vs Persib Bandung minggu hadapan.

Selang dua hari selepas itu, Selangor dijadualkan berdepan Sabah sekali lagi dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala FA dengan sebarang perubahan tertakluk kepada MFL.