Sukan Belia Asia: Palestin Raih Pingat Emas Pertama Dalam Sejarah
UltraSukan
Olympic Palestine

Kontinjen Palestin ceria apabila meraih pingat emas pertama mereka dalam sejarah Sukan Belia Asia.

Roya TV melaporkan sejarah ini dilakar menerusi pencapaian jaguh Muay Thai wanita, Vivian Allis. Allis yang beraksi dalam kategori 45 kilogram (kg) meraih pingat emas dalam final kategori tersebut.

Beliau menewaskan jaguh Lubnan,  Hala Makdashi dalam aksi final. Kedua-dua jaguh mempamerkan aksi mantap dengan kemahiran pertarungan teknikal berkualiti.

Pada akhirnya, keazaman yang dipamerkan Allis dalam gelanggang memastikan pingat emas menjadi miliknya.

Aksi final ini turut disaksikan Duta Palestin ke Bahrain, Arif Salleh dan Setiausaha Agung Jawatankuasa Olimpik Palestin, Abdel Majeed Hajjaj.

Allis kemudiannya mendedikasikan kejayaan beliau buat rakyat Palaestin terutama yang berada di Semenanjung Gaza.

Palestin menyertai acara Muay Thai Sukan Belia Asia 2025 dengan tiga orang atlet. Selain Allis, Ibrahim Jamous dan Atem Fadi turut membawa cabaran negara Asia Barat itu.