Skuad wanita Malaysia kempunan untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata dalam Sukan SEA apabila tewas kepada Filipina dalam aksi terakhir Kumpulan B.
Selepas tewas 3-0 kepada Myanmar, aksi ini menjadi peluang terakhir Malayan Tigress untuk mencuri mata di pentas Sukan SEA.
Nurul Ezza Ashikin Abdul Razak dibawa masuk menggantikan Nurul Azurin Mazlan. Pemilihan Ezza Ashikin dibuat kerana Azurin mengalami kecederaan.
Separuh masa pertama menyaksikan Filipina berusaha mencari jaringan pendahuluan di Stadium IPE Chonburi.
Situasi ini memaksa barisan pertahanan negara diketuai kapten, Steffi Sarge Kaur bekerja keras menyerap tekanan Filipina.
Filipina akhirnya mendahului pada minit ke-45 menerusi Alexa Pino. Pemain tengah Kentucky Wildcats itu mudah menewaskan Ezza Ashikin untuk gol pertama pasukan itu.
Filipina terus memberi tekanan ke atas benteng Malayan Tigress tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Filipina terus memburu gol tambahan. Pino terus menjadi duri dalam daging buat skuad negara apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-54.
Malaysia makin derita apabila dibolosi dua gol pada minit ke-68 dan 70. Rebecca Cowart dan hatrik Pino masing-masing menceriakan kem Filipina.
15 minit kemudian, Filipina menyumbat gol kelima yang merobek gawang Ezza Ashikin menerusi Isabella Markey. Chabeli Castaneda melengkapkan kempen cemerlang Filipina dengan gol pada minit ke-96.
Keputusan ini menyaksikan Malaysia menamatkan kempen Sukan SEA tanpa sebarang kemenangan dan gol. Filipina pula mara ke peringkat separuh akhir untuk mengiringi juara kumpulan, Vietnam.