Filipina bakal menjadi lawan Malaysia dalam aksi penentuan pingat gangsa acara bola sepak lelaki Sukan SEA 2025.
Perlawanan separuh akhir pada Isnin menyaksikan Malaysia B-23 bimbingan Nafuzi Zain terpaksa akur tumbang 1-0 di tangan tuan rumah, Thailand dalam aksi penuh debaran di Bangkok.
Jaringan memukau oleh Yotsakorn Burapha seawal minit ke-8 permainan menerusi sepakan percuma cantik memberikan kemenangan cukup manis buat Thailand untuk melangkah ke final.
Kekalahan itu turut menyaksikan Malaysia B-23 bakal beraksi di perlawanan penentuan pingat gangsa dengan Filipina akan menjadi lawan buat pasukan muda negara pada 18 Disember ini.
Ini setelah Filipina yang merupakan juara bagi kumpulan C dikecewakan dengan dua jaringan lewat oleh skuad muda Vietnam dalam satu lagi perlawanan separuh akhir di sebelah petang.
Perlawanan akhir bagi merebut pingat emas acara bola sepak lelaki akan menemukan Thailand vs Vietnam pada Khamis, 18 Disember ini manakala Malaysia vs Filipina bakal berlangsung terlebih dahulu.