Malaysia terpaksa bekerja keras sebelum mengesahkan kemaraan ke peringkat akhir acara berpasukan lelaki Sukan SEA 2025.
Ini selepas skuad negara mengatasi cabaran tuan rumah, Thailand di peringkat separuh akhir temasya itu.
Selepas menewaskan Filipina 3-0 di peringkat suku akhir, skuad negara kini fokus memburu slot ke final. Thailand kini menjadi penghalang antara Malaysia dan slot final.
Thailand terlebih dahulu di hadapan menerusi bekas juara dunia, Kunlavut Vitidsarn. Meskipun cuba diberi tentangan Leong Jun Hao, Kunlavut menang dengan keputusan 21-15, 21-15.
Malaysia bangkit menyamakan kedudukan menerusi bekas juara dunia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.
Aaron-Wooi Yik yang berstatus beregu kedua dunia tidak berdepan masalah mengalahkan Supak Jomkoh dan Peeratchai Sukphun. Mereka menang dengan keputusan 21-18, 21-19.
Justin Hoh kemudiannya meletakkan Malaysia di hadapan dengan mengalahkan Panitchaphon Teeraratsakul. Justin menewaskan pemain ke-39 dunia itu dengan keputusan 21-10, 21-17.
Beregu kelima dunia, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun memastikan mata ketiga milik Malaysia. Mereka mengalahkan Panitchaphon-Dechapol Puavanukroh dengan keputusan 21-14, 18-21, 21-17.
Malaysia akan berdepan musuh tradisi, Indonesia di peringkat akhir. Indonesia mara dengan menyingkirkan Singapura dalam satu lagi aksi separuh akhir.