Sukan SEA: Malaysia Genggam Perak Badminton Berpasukan Lelaki
UltraSukan
MSN Malaysia

Malaysia terus kempunan mengakhiri kemarau pingat emas dalam acara berpasukan lelaki apabila tewas kepada Indonesia di peringkat akhir.

Selepas menewaskan Thailand di peringkat separuh akhir, skuad negara berharap dapat mengakhiri kemarau pingat emas sejak edisi 2005.

Hasrat kem Malaysia meraih mata awal menerusi perseorangan pertama, Leong Jun Hao tidak berhasil.

Jun Hao terpaksa akur dengan kehandalan Alwi Farhan dengan keputusan 21-12, 21-19. Ini kali kedua jaguh negara itu tumbang di tangan lawan sama.

Beregu kedua dunia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik turut senasib dengan Jun Hao. Beregu nombor satu Malaysia itu tewas kepada Sabar Karyaman Gutawan dan Reza Pahlevi Isfahani dengan keputusan 21-12, 21-12.

Kemenangan Indonesia disahkan apabila Moh. Zaki Ubaidillah berjaya menewaskan perseorangan kedua Malaysia, Justin Hoh.

Justin cuba memberi tentangan sebelum tewas dengan keputusan 21-12, 21-14. Keputusan ini menyaksikan Indonesia mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi 2023.