Kedudukan Malaysia dalam kumpulan B acara bola sepak lelaki Sukan SEA 2025 berada di posisi terbaik selepas tundukkan Laos pada Sabtu.
Skuad Malaysia B-23 turun dalam perlawanan pertama di pentas Sukan SEA 2025 dengan misi penting bagi meraih kemenangan dalam memudahkan laluan ke separuh akhir.
Misi itu berjaya dilaksanakan oleh anak-anak buah Nafuzi Zain dengan memperoleh kemenangan 4-1 hasil jaringan Haykal Danish, Haqimi Azim, Moses Raj dan Muhammad Abu Khalil.
Kemenangan 4-1 ini meletakkan Malaysia di tangga teratas kumpulan B dengan 3 mata selepas aksi pertama manakala Vietnam pula di tempat kedua walau berkongsi mata yang sama.
Perbezaan jaringan menjadi pemisah antara Malaysia dan Vietnam ketika ini selepas anak-anak buah Kim Sang-sik hanya menang 2-1 ke atas Laos pada perlawanan pertama lalu.
Laos yang tewas kedua-dua perlawanan kumpulan B pula menghuni tangga tercorot tanpa sebarang mata sekaligus mengakhiri perjuangan mereka di kejohanan Sukan SEA ini.
Aksi terakhir kumpulan B antara Vietnam vs Malaysia pada 11 Disember ini akan menjadi penentu juara kumpulan sekaligus melayakkan diri ke separuh akhir temasya Sukan SEA 2025.