Sukan SEA: Malaysia Raih Gangsa Badminton Berpasukan Wanita
UltraSukan
MSN Malaysia

Skuad badminton berpasukan wanita Malaysia terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa apabila tewas kepada Indonesia di peringkat separuh akhir Sukan SEA 2025.

Selepas meraih kemenangan 3-1 ke atas Vietnam di peringkat suku akhir, Malaysia berharap dapat meneruskan rentak kemenangan di peringkat separuh akhir.

K. Letshanaa menjadi sandaran kem negara untuk perseoranga wanita pertama. Putri Kusuma Wardani menjadi pilihan Indonesia untuk aksi pertama.

Putri Kusuma membuktikan statusnya sebagai pemain nombor tujuh dunia dengan menewaskan Letshanaa dengan keputusan 21-9, 21-16.

Beregu nombor dua dunia, Pearly Tan dan M. Thinaah membantu Malaysia menyamakan kedudukan 1-1.

Juara Japan Masters itu dipaksa bekerja keras oleh beregu Indonesia, Rachel A. Rose dan Febi Setianingrum sebelum menang dengan keputusan 21-14, 17-21, 21-16.

Malaysia kemudiannya mendahului 2-1 menerusi Wong Ling Ching. Ling Ching mengejutkan pemain ke-10 dunia, Gregoria Mariska Tunjung dengan keputusan 22-20, 15-21, 21-16.

Beregu kedua negara, Toh Ee Wei dan Go Pei Kee terpaksa akur dengan kehebatan lawan mereka, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari.

Beregu kedua Indonesia itu memastikan keputusan 2-2 dengan keputusan 21-10, 21-9. Ini memaksa perlawanan diheret ke perseorangan wanita ketiga untuk menentukan pemenang.

Siti Zulaikha Azmi menjadi sandaran kem negara sebagai perseorangan ketiga. Mutiara Ayu Puspitasari menjadi sandaran kem Indonesia.

Siti Zulaikha terpaksa akur dengan kehebatan Mutiara Ayu yang menang dengan keputusan 21-18, 21-16.

Keputusan ini menyaksikan Malaysia dan Singapura meraih pingat gangsa. Indonesia dan Thailand bakal berentap untuk penentuan pingat emas acara berpasukan wanita.