Selepas hari keenam temasya Sukan SEA 2025, kontinjen Malaysia telah meraih 20 pingat emas.
Hari keenam temasya menyaksikan beberapa sejarah baharu dilakar. Sukan sepak takraw menjadi saksi kejutan terbesar dilakar kem negara.
Ini kerana Malaysia meraih pingat emas acara regu berpasukan buat kali pertama sejak edisi 1991 di Manila, Filipina.
Lebih manis, Malaysia mengatasi musuh tradisi, Thailand dengan keputusan 2-1 di pentas final yang diadakan di Nakhon Pathom.
Kem badminton pula merekodkan satu pingat emas menerusi acara beregu wanita. Emas ini cukup berharga kerana ini pingat emas pertama Malaysia dalam acara itu dalam tempoh 10 tahun.
Beregu wanita nombor dua dunia, Pearly Tan dan M. Thinaah meraih emas selepas mengetepikan cabaran beregu ke-10 dunia, Febriana Dwipuji Kusuma-Amallia Cahaya Pratiwi.
Sukan wushu dan silat turut menyumbang pingat emas kepada Malaysia menerusi Sydney Chin Sy Xuan dan Nur Syafiqah Hamzah.