Malaysia mencipta kejutan dengan menewaskan pasukan ke-20 dunia, Vietnam dalam aksi kedua futsal Sukan SEA 2025.
Selepas dibelasah tuan rumah, Thailand 7-1 dalam aksi pertama kejohanan, anak buah Rakhpol Sainetngam berharap dapat bangkit bila bertemu Vietnam.
Khairul Effendy Mohd Bahrin terus menjadi pilihan sebagai kapten Malaysia. Tonggak berpengalaman, Pham Duc Hoa mengetuai kempen Vietnam.
Vietnam terlebih dahulu di hadapan pada minit ketiga menerusi Nguyen Da Hai. Keceriaan kem Vietnam hanya bertahan selama seminit.
Tonggak Pahang Rangers, Ahmad Harith Naim mengikat kedudukan 1-1 buat kem negara. Malaysia kemudiannya mendahului menerusi Syahir Iqbal Khan Akbar Khan pada minit ketujuh.
Peledak Johor Darul Ta’zim (JDT), Awaluddin Mat Nawi memastikan Malaysia selesa di hadapan dengan gol ketiga pada minit ke-18.
Vietnam yang dibimbing Diego Giustozzi cuba bangkit mengurangkan defisit gol. Malangnya, keputusan 3-1 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Vietnam berusaha mencari gol untuk mengurangkan defisit dengan skuad negara.
Malangnya, gawang Vietnam bocor lagi seminit selepas babak kedua bermula, Syahir Iqbal sekali lagi merobek gawang lawan yang dikawal Pham Van Tu.
Situasi ini mendorong Vietnam meningkatkan tekanan ke arah gawang Malaysia yang dikawal Syarifuddin Syukri.
Nguyen Manh Dung menyumbat gol kedua Vietnam pada minit ke-37. Vietnam terus memburu gol tetapi keputusan 4-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Malaysia kini di tempat ketiga di belakang Thailand dan Indonesia. Selepas ini, fokus skuad negara ialah aksi menentang Myanmar pada 17 Disember.