Sukan SEA: Skuad Futsal Malaysia Kecewa Di Tangan Indonesia
UltraSukan
Timnas Futsal

Malaysia menutup aksi round robin futsal Sukan SEA 2025 dengan kekecewaan apabila tewas kepada Indonesia.

Selepas membelasah Myanmar 8-1, anak buah Rakhpol Sainetngam bersemangat memburu kemenangan ketiga. Indonesia pula mahu bangkit selepas tewas 1-0 kepada Vietnam.

Penyerang Pahang Rangers, Harith Naim Nasir menjadi sandaran gol Malaysia. Syaifuddin Syukri kekal menjadi penjaga gol meskipun mengalami kecederaan ketika menentang Myanmar.

Holypaul Evan Septinus Soulimena meletakkan Indonesia di hadapan seawal minit keempat. Sembilan minit kemudian, giliran Reza Gunawan pula mencetak nama sebagai penjaring.

Malaysia mendapat talian hayat pada minit ke-17. Percubaan Saad Sani terkena Brian Ick sebelum menerjah gawang Indonesia.

Malaysia berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Malaysia beberapa kali berusaha merobek gawang Indonesia yang dikawal Ahmad Habibie. Malangnya, usaha skuad negara tidak berhasil.

Indonesia juga senasib apabila setiap percubaan mereka cemerlang dinafikan Syaifuddin. Meskipun begitu, isu kecederaan memaksa Rakhpol memasukkan Zainulzahin Sinuan sebagai pengganti beliau.

Malaysia berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Malaysia kini menunggu keputusan perlawanan akhir pada 19 Disember ini.

Ini kerana keputusan perlawanan pada hari itu menentukan sama ada Malaysia meraih pingat perak atau gangsa di pentas Sukan SEA.